วันอังคารที่ 29 พฤศจิกายน พ.ศ. 2554

Pembaharuan di wilayah selatan Thailand

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

BANJIR besar yang melanda Thailand ketika ini, menarik simpati masyarakat antarabangsa. Banyak pihak menghulurkan bantuan. Bencana tersebut sedikit sebanyak dikatakan melupakan kita sementara pada pergolakan di wilayah selatan negara itu.
Pergolakan yang berlarutan sejak sekian lama dan meragut ribuan jiwa, ibarat 'duri dalam daging' kepada usaha Bangkok untuk membawa kemajuan di wilayah berkenaan.
Keadaan tidak aman di wilayah terbabit terutama Narathiwat, Pattani dan Yala yang bermajoriti penduduk beragama Islam, menyebabkan usaha kerajaan Thailand untuk membawa masuk lebih banyak pembangunan demi kebaikan masyarakat setempat, jelas terhambat.
Ternyata, kemelut antara agama yang berpanjangan itu menyaksikan wilayah terbabit ketinggalan dari segi pembangunan dan pertumbuhan termasuk dalam sektor pelancongan yang disifatkan nadi kepada ekonomi Thailand. Ini kerana, pergolakan mengakibatkan pelancong 'lari' untuk berkunjung ke wilayah terbabit yang pada hakikatnya menawarkan pakej percutian tidak kurang hebatnya.
Di peringkat antarabangsa pula, pergolakan itu menjejaskan imej Bangkok, terutama di kalangan negara Islam. Tidak kurang, banyak pihak yang mempersoalkan pendekatan diambil oleh Bangkok dalam menangani krisis di wilayah berkenaan.
Ini berikutan kecenderungan media asing dan tempatan memaparkan berita-berita tragedi dan berdarah di wilayah terbabit, walaupun ia berlaku di kawasan agak terpencil.
Menyedari hakikat itu, maka Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini menganjurkan lawatan ke wilayah terbabit dengan menjemput wakil agensi dan jabatan agama, institusi pendidikan dan media dari Kelantan melihat sendiri kehidupan masyarakat Islam setempat.
Umum mengetahui bahawa, Kelantan merupakan antara negeri di Malaysia yang bersempadan dengan Thailand. Malah, berdasarkan sejarah, masyarakat di kedua-dua wilayah mempunyai hubungan akrab sama ada secara langsung iaitu ikatan kekeluargaan, mahupun tidak langsung.
Bagi penulis sendiri, peluang berkunjung ke wilayah itu sangat dinanti-nantikan, sementelah banyak cerita tidak enak didengar sebelum ini, dan lawatan diharap dapat merungkai segala kegelisahan yang berlegar-legar di benak fikiran.
Dengan menaiki bas dua tingkat, ahli rombongan dibawa menyusuri sempadan bermula dari bumi bergolak Sungai Golok yang sebelum itu mengorbankan empat jiwa termasuk seorang rakyat Malaysia akibat letupan bom yang dikaitkan dengan gerakan pemisah.
Ketibaan rombongan di Pattani disambut oleh Gabenornya, Nipon Narapitakul yang dalam taklimatnya memaklumkan, keadaan di wilayah itu semakin reda daripada kejadian letupan bom.
"Alhamdulillah selepas bertemu dengan pemimpin agama, dan rakyat, ia memberi kefahaman kepada mereka dalam mewujudkan suasana aman. sekarang ini, di setiap daerah, kita beri tanggungjawab kepada pemimpin untuk bekerjasama dengan penduduk supaya wilayah ini dapat dimajukan.
"Sebelum ini, rakyat hidup susah ada suami yang terpaksa berhijrah ke Malaysia cari kerja, pelabur tak ada, bidang pendidikan ketinggalan kerana tidak ada guru berkualiti dan pelajar mundur. Kerajaan sekarang cuba membawa kemajuan termasuk memberi peluang pekerjaan lebih luas kepada anak tempatan, ini termasuk memberikan bantuan kira-kira RM20,000 kepada keluarga petani miskin," katanya.
Nipon Narapitakul atau nama Islamnya Nik Ishak Nik Hassan memberitahu, kerajaan Thailand turut berhasrat membangunkan pusat makanan halal di wilayah Pattani yang pastinya membawa manfaat kepada penduduk tempatan dan sekitar.
Pun begitu katanya, perancangan terbabit sedikit terjejas disebabkan keganasan yang berlaku seterusnya menghalang kemajuan di wilayah selatan Thailand.
Beliau memberitahu, dalam tempoh antara 4 Januari 2004 hingga 31 Ogos 2011, keganasan tercetus di wilayah Pattani sahaja meragut 4,553 jiwa iaitu 2,366 orang awam dan selebihnya di pihak kerajaan. Dalam tempoh itu, kerajaan membelanjakan lebih RM56 juta bagi membantu keluarga mangsa.
Keganasan yang berlaku bukan sahaja melibatkan orang awam, tetapi golongan tentera yang sering menjadi sasaran puak pemisah.
Lantaran itu, kerajaan Thailand turut meluaskan peranan angkatan tentera mereka bukan sekadar menjaga dan mengekalkan keamanan di wilayah bergolak, tetapi juga menjalankan kerja-kerja penyelidikan dalam bioteknologi bagi membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk.
Buktinya, di bawah teraju Leftenan Jeneral Pichate Wisaijorn, Komander Operasi Wilayah 4 itu telah mewujudkan Pusat Pembelajaran Ekonomi Kecukupan (LCSE) pada 7 Oktober 2008 bagi menjalankan kajian, membimbing dan melatih penduduk di kalangan petani, penternak pelajar tempatan dalam sektor pertanian dan ternakan.
Matlamatnya untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk, sekali gus mengelakkan mereka daripada terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan termasuk penyalahgunaan dadah, yang hanya menggugat kestabilan serta kemajuan wilayah berkenaan.
Menariknya, pusat tersebut yang berjaya menghasilkan baja organik, sehingga kini menarik lebih 85,000 pengunjung termasuk pemimpin luar negara untuk melihat secara dekat operasinya.
Selain LCSE, kerajaan Thailand mewujudkan Pusat Pentadbiran Wilayah Bersempadan Selatan (SBPAC) dalam usaha membawa keamanan dan kemakmuran di wilayah bermajoriti penganut Islam itu.
Menurut Ketua Setiausahanya, Panu Uthairat, SBPAC ditubuhkan pada Disember 2010 bagi mentadbir wilayah-wilayah bersempadan dengan Malaysia, dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dengan menyasarkan peningkatan pendapatan perkapita sehingga Bath120,000 (RM12,000) setahun.
"Dalam apa juga keadaan, pendekatan yang kita gunakan adalah dasar politik mendahului ketenteraan. Ini kerana, keadaan tidak aman yang berlaku di wilayah selatan Thailand sebenarnya berpunca daripada sekumpulan kecil pengganas yang menyelewengkan ajaran agama, maka itu SBPAC mewujudkan Majlis Penasihat bagi memberi perspektif agama yang betul kepada masyarakat," katanya.
Salah faham atau penyelewengan agama tersebut turut diakui oleh Presiden Persatuan Pondok Wilayah Selatan Thailand, Tuan Guru Abdul Aziz Abdul Wahab yang menurutnya, umat Islam sering diberitahu tentang konsep jihad tetapi tidak diberikan penjelasan sebenar.
Lantaran itu katanya, bagi membetulkan salah faham tersebut, maka pihak persatuan dengan kerjasama tuan-tuan guru pondok di lima wilayah di selatan Thailand menghasilkan sebuah buku untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai definisi perjuangan atau jihad dalam Islam.
Panu turut memberitahu rancangan kerajaan Thailand untuk memberi pelajaran kepada anak-anak muda Islam di selatan supaya kelak mereka mampu meningkatkan taraf hidup keluarga, termasuk menghapuskan ancaman dadah yang dikatakan semakin membimbangkan.
"Nisbah pegawai kerajaan di wilayah selatan ketika ini kira-kira 75 peratus merupakan anak tempatan. Kerajaan turut memberi sokongan dari segi budaya, bahasa Melayu dan apa sahaja berkaitan Melayu. Thailand sebenarnya bernasib baik kerana mempunyai raja dan puteri yang memainkan peranan penting dalam membawa pembangunan di wilayah selatan," jelasnya.
Apa pun perancangannya, usaha untuk membawa keamanan berkekalan dan kemajuan di wilayah selatan Thailand menuntut komitmen dan keikhlasan semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat setempat agar ia membuahkan hasil dan natijahnya turut dirasai oleh negara-negara dalam kelompok ASEAN khususnya Malaysia.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น